Friday, 14 September 2012

KAMPAR PERAK


                                                                                                   Kalau kita lihat nama pekan Kampar itu sendiri mempunyai persamaan nama dengan Bandar Kampar di Sumatera, Indonesia. Ini diakui oleh para sejarahwan kita bahawa nama pekan ini adalah diambil sempena nama Kampar yang ada di Sumatera, Indonesia. Wujudnya perkaitan di antara kedua-dua nama ini adalah melalui perniagaan yang dijalankan oleh kedua-dua penduduk bagi dua pekan ini, perniagaan mereka yang paling utama ialah penjualan tembakau dan alat-alat tembikar sara tembaga. Kedatangan orang Kampar (Indonesia) yang paling ramai sekali dating ke sini ialah pada 1880-1900. Mereka dating melalui beberapa batang Sungai Kuala Dipang, Sungai Kampar, Sungai Kinta dan lain-lain lagi. Mereka menggunakan jong iaitu sebuah sampan besar yang diperbuat daripada kayu keras dan diukir menyerupai itik. Tempat persinggahan mereka adalah di tebing-tebing sungai. Maka, wujudlah beberapa buah Kampung Jeram di tebing Sungai Keboi. Selian itu, ada juga yang masuk melalui Teluk Intan dan mudik ke Sungai Perak hingga ke Sungai Perak hingga ke Kuala Kampar di mana Kuala Kampar inilah wujudnya pekan Malim Nawar yang masih ada hingga kini. Mereka dating adalah untuk berniaga. Dari Kuala Kampar mereka singgah ke beberapa buah kampung untuk menjual barang-barang mereka kepada penduduk tempatan. Kemudian mereka meneruskan lagi perjalanan hingga ke Kuala Keboi. Perniagaan mereka di sini bertambah maju kerana terdapat kerabat di raja dan Sultan tinggal di Kuala Keboi. Di daerah inilah juga lahirnya Sultan Alang Iskandar dan Panglima Megat Teramis (tokoh Negeri Perak). Setelah habis barang-barang perniagaan mereka dijual di tempat tersebut, mereka pun meneruskan perjalanan ke batang Tonggang dengan berjalan kaki. Di sini jugalah bermulanya Bandar Kampar yang ada hingga kini. Di Batang Tonggang (sekarang Kampar) inilah orang-orang Kampar itu (dari Indonesia) mendirikan kedai sederet atap. Penduduk dari kampung berhampiran dengan Batang Tonggang seperti kampung Sultan (sekarang Jalan Baru) membawa hasil-hasil pertanian mereka ke Batang Tonggang untuk dijual kepada orang Kampar (Indonesia) ini. Tahun demi tahun, kedai sederet atap orang Kampar ini bertambah maju. Setelah perniagaan mereka maju, akhirnya mereka membuat keputusan untuk menetap di sini kerana jarak antara Kampar (Perak) dengan Kampar (Indonesia) adalah jauh. Ini menyukarkan mereka berulang-alik. Selain itu, terdapat bencana di lautan seperti ombak yang besar dan lanun-lanun yang pada masa itu bermaharajalela. Ada setengah-setengah orang Kampar ini berkahwin dengan penduduk tempatan dan terus bermastautin di sini.


Pada peringkat awal, aktiviti perlombongan di Kampar dijalankan secara mengorek lubang-lubang kecil untuk mendapatkan tanah yang mengandungi bijih dan mendulangnya di tebing-tebing Sungai Keranji dan Sungai Kampar serta di kawasan-kawasan rendah yang mengandungi takungan air. Kegiatan tradisional kebanyakannya dilakukan oleh orang-orang Cina dan Eropah menambahkan kepesatan kegiatan ekonomi perlombongan bijih timah, apabila mereka memperkenalkan melombong cara pam palong dan kapal korek. Kedua-dua cara perlombongan iniboleh mengeluarkan hasil bihih timah dalam jumlah yang berlipat ganda banyaknya serta dapat menyumbangkan peluang pekerjaan kepada penduduk Kampar dan kawasan-kawasan sekitarnya. Keadaan ini berterusan sehinggalah menjelangnya kemerosotan pasaran timah pada awal tahun 1983.

Penempatan awal Kampar dan kepesatan industri perlombongan mendorong kedatangan orang-orang dari luar semua terutama orang-orang Cina dari Tanah Besar (Negeri China) dan juga yang telah bermastautin di Pulau Pinang dan Taiping untuk memulakan hidup baru di Kampar sebagai pekerja limbong, peniaga dan sebaginya.

Hari ini Kampar telah membangun sebagai pusat pentadbiran Daerah Kecil Gopeng dan Kampar serta menjadi pusat perniagaan dan kewangan yang menjadi tumpuan penduduk sekitarnya. Berbagai-bagai kemudahan dan infrastruktur telah disalurkan oleh pihak kerajaan untuk penduduk Kampar seperti Hospital, sekolah, bekalan air, elektrik dan sebagainya. Untuk memastikan keperluan pengurusan dan kebersihan Bandar Kampar, telah ditubuhkan Majlis Daerah Kinta Selatan untuk menguruskan dan menguatkuasakan keperluan dan peraturan-peraturan tersebut.

Jumlah penduduk sekarang bagi Kampar dan kawasan sekitarnya di bawah MDKS berjumlah kira-kira 98,534 (setakat 1993) orang yang terdiri orang Cina, Melayu, India dan sebagainya. Kepesatan pembangunan Kampar setaraf dengan bandar-bandar lain di negeri Perak malah pada satu ketika dulu Kampar adalah Bandar yang keempat besarnya di Perak selepas Ipoh, Taiping dan Teluk Intan. Ini membuktikan bijih timah menjadi sumber yang memainkan peranan penting menentukan kepesatan Kampar seperti juga Kuala Lumpur, Ipoh, Seremban dan Taiping.

No comments:

Post a Comment